5 Hadis Untuk Peringatan Sekeluarga

, 5 Hadis Untuk Peringatan Sekeluarga, Teacher Syeri's Blog

Alhamdulillah, masih diberi rezeki berada di muka bumi ni pagi ni. Hari ni saya nak kongsikan 5 hadis untuk peringatan sekeluarga yang boleh diamalkan dan diingatkan kepada satu sama lain di dalam keluarga.

Setiap kebaikan adalah sedekah (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bagi saya sangat indah sekali kerana ianya asas kepada kita untuk mengingatkan diri dan ahli keluarga untuk sentiasa berbuat baik kerana setiap kebaikan itu adalah sedekah dan insyaAllah, Allah menyukai perkara yang baik-baik.

Malu adalah sebahagian daripada iman (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di zaman sosial media ini, malu adalah satu perkara yang semakin hilang dan ianya amat merisaukan. Malu bersifat subjektif dan mempunyai definisi dan pemahaman berbeza mengikut setiap orang. Namun, secara asasnya, dengan adanya sifat malu, banyak perkara yang tidak baik dapat dijauhi. Oleh itu, eloklah untuk kita mengingatkan ahli keluarga kita sentiasa menjaga perasaan ini atau lebih tepat lagi, ianya dipanggil aib. Jagalah aib keluarga. Ia tanggung jawab setiap ahli masyarakat.

Hidupkan Al-Quran dan sunnah di dalam keluarga, insyaAllah, Allah pelihara keluarga kita.

Menuntut ilmu adalah WAJIB ke atas setiap Muslim (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Abu Ya’la)

Apabila dikatakan wajib di dalam Islam, maka tiada pengecualian untuk sesiapapun dari perkara ini. Jadi, kalau anak anda mula culas untuk belajar, bolehlah kita ingatkan mereka mengenai 1 daripada 5 hadis untuk peringatan sekeluarga ni.

Setiap makhluk adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka, hendaklah dia memperhatikan dengan siapa dia bersahabat. (Hadis Riwayat Ibnu Daud & At-Tarmizi)

Tak dinafikan, selepas keluarga, sahabat adalah orang terpenting di dalam hidup kita. Malah, Rasulullah s.a.w. juga mempunyai ramai sahabat yang menyokong perjuangan baginda selama ini. Itu saja sudah cukup membuktikan keperluan kita untuk bersahabat. Namun, pada masa yang sama, Rasulullah s.a.w. juga memberi pesan agar kita memperhatikan dengan siapa kita bersahabat kerana setiap gerak geri dan adab kawan-kawan kita akan membentuk sahsiah kita juga. Jadi, pilihlah kawan-kawan yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah s.w.t.

Sesiapa yang ingin rezekinya diluaskan maka hendaklah dia menyambung silaturrahim ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita biasa melihat sesetengah orang yang suka bergaduh mengenai perkara-perkara kecil. Kita juga biasa melihat sesetengah orang yang lain yang bergaduh berhari-hari malah bertahunpun ada. Tapi, kita juga mesti pernah berjumpa dengan orang yang tidak tahan untuk bergaduh melebihi waktu yang lama. Cubalah kita pupuk ahli keluarga kita untuk menjadi orang yang bencikan pergaduhan dan permusuhan, malah cintakan silaturahim sesama manusia. InsyaAllah, rezeki kita akan sentiasa mencukupi.

Diharapkan anda dapat pelajari sesuatu dari artikel saya, 5 Hadis Untuk Peringatan Sekeluarga kali ini. Jika anda ada hadis lain yang berkaitan, apa kata anda kongsikan di dalam ruangan komen di bawah.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published.