Tragedi Tahfiz – Ini kisahku

Pagi tadi membangkitkan ramai orang.Bukan sekadar mereka yang sedang bangun untuk tahajud dan witir, tetapi juga mereka yang mungkin lalai dengan subuhnya juga terbangkit pagi tadi. Jeritan anak-anak tahfiz yang hangus dijilat api membangkitkan kita semua. Saya ialah seorang guru Bahasa Inggeris. Ilmu yang saya ajarkan sungguh duniawi, hidup saya serba daif dalam ketaqwaan tetapi Allah memilih saya, saya yang daif ini untuk mengenal apa itu kehidupan mereka yang berdamping dengan al-Quran. Tragedi tahfiz – ini kisahku.

Saya dibangunkan oleh kisah ini di hujung waktu subuh sewaktu sedang bersiap sedia untuk keluar rumah. Mesej yang dihantar oleh ibu kepada anak murid down syndrome saya mengejutkan saya apabila dia memberitahu bahawa maahad tahfiz berdekatan rumahnya hangus terbakar bersama-sama 20 murid yang lain. Saya terfikir, “macam tak percaya je.”Dan saya terus memandu. Tetapi tak lama kemudian, di antara waktu menanti bergeraknya kereta di dalam kesesakan lalu lintas, seorang kawan sekolah saya yang mana saya juga mengajar anaknya menghantar mesej yang memberitahu bahawa hatinya luluh mendengarkan kisah tahfiz yang terbakar pagi ini. Sejurus kemudian dia memberitahu bahawa arwah salah seorang ustaz yang terlibat adalah ustaz yang mengajar anaknya mula-mula mengenal huruf-huruf hijayiah al-Quran. Allahu, berderai hati ini. Terus sepanjang hari ini saya dibuai kenangan lama.

Hati manusia adalah milik Allah

Hati kita adalah milik Allah. Sungguh kita tidak mempunyai apa-apa langsung. Saya bukanlah orang alim, jauh sekali hafizah. Tetapi pada tahun 2015, Allah rezekikan saya bertugas sebagai seorang business strategist untuk sebuah syarikat pengurusan umrah. Dari syarikat berkenaan, saya ditugaskan menjemput seorang ustaz untuk memberitahu mengenai kursus umrah. Alhamdulillah, hasil pengurusan itu, saya memberitahu beliau bahawa saya ialah seorang guru. Apabila dikatakan begitu, ustaz yang faham niat saya itu berkata, “Syarifah, kami (pengurusan tahfiz tersebut) tidak akan mampu bayar gaji Syarifah seperti yang Syarifah dapat sekarang ni.”Maka terdiamlah saya. Sayapun tahu keperluan kewangan saya, jadi tak perlulah saya berkata apa-apa lagi. Namun, Allah itu Maha Besar.

Tidak lama kemudian, tahfiz yang sama membuat iklan mencari pengurus bahagian akademik. Maka, kali ini saya melontarkan taruhan kedua saya. Alhamdulillah, tanpa memperkenalkan diri saya melalui mudir yang juga merupakan ustaz yang saya ceritakan tadi, saya dipanggil ke temuduga. Hasil temuduga membuktikan kata-kata ustaz itu benar. Namun, masuk saja ke dalam kereta saya terus menangis sekuat hati. Sampai satu ketika sayapun berhenti dan berfikir sejenak. Apakah yang menyebabkan saya menangis. Allahu akbar. Terus saya teringatkan suasana di tingkat atas bangunan yang baru saya tinggalkan tadi. Bunyinya riuh, sibuk sekali tetapi lain dari yang lain. Bunyi itu adalah suara anak-anak sibuk melantunkan ayat-ayat al-Quran. Allahu. Saya tekad untuk meninggalkan kerja saya dan menerima apa sahaja yang bakal dibayar oleh pihak tahfiz tersebut.

Akhlak Terpuji

Tidak beberapa lama selepas ditempatkan di bangunan pengurusan tahfiz ini, saya dibawa untuk pertama kalinya pergi ke asrama pelajar tahfiz di mana saya akan mengajar mereka Bahasa Inggeris. Mudir dan pengetua tahfiz ini menginginkan para huffaz yang boleh menguasai Bahasa Inggeris, maka itulah salah satu tugasan saya. Setelah beberapa lama diperkenalkan di khalayak para huffaz, tibalah masanya untuk saya melakukan tugas saya. Masih saya ingat sehingga hari ini, saya seperti orang yang tidak pernah melihat manusia. Malah, saya amat malu pada ketika itu.

Sewaktu memperkenalkan diri saya, kesemua anak-anak hufaz ini menutup al-Quran di atas rehal yang berada di hadapan mereka, meletakkan pensel mereka dan duduk menghadap saya. Subhanallah, pemandangan saya hampir membuat saya pengsan. Sekumpulan 30 lelaki muda (anak-anak kecil lingkungan bawah 15 tahun) sedang berjubah putih dan berserban diam menanti kata-kata keluar dari mulut saya, tetapi sebelum tersusun kata-kata, air mata mendahului. Saya berjaya mengelak dari membiarkan air mata membasahi pipi saya. Saya berkata, “although I am your teacher today, please believe in me that the true teacher is not me, it’s you. All of you. What I have to teach will not benefit you in the Hereafter, but what you already showed me has taught me a lot even now.” Sekali lagi saya mahu menangis tetapi lebih parah lagi kaki saya mula mengigil. Akhlak mereka, ya Allah. Hanya Allah saja yang tahu. Tidak pernah sepanjang 12 tahun bergelar guru saya mendapatkan kesemua anak-anak murid bersedia untuk mendengar kata-kata saya. Itulah kali yang pertama dan saya terasa amat kerdil di hadapan mereka. Pada diri mereka adalah ilmu dunia akhirat, pada diri saya hanyalah ilmu yang belumpun pasti mampu memberi saya hatta dunia sekalipun, jauh lagi akhirat.

Wahai Allah, terima kasih atas pinjaman ini.

Hujan

Mudir kami dari Yaman, maka banyak kebiasaan Yaman diterapkan termasuklah bacaan mawlid. Saya dibesarkan dengan bacaan mawlid maka mawlid dan saya, akrab. Apabila anak-anak murid yang organise ratib, saya tak mahu usaha mereka tersia-sia lebih-lebih lagi apabila mereka sendiri menjemput saya personally.  Satu malam, hujan lebat. Saya berlari dari kereta menuju kawasan berbumbung asrama tahfiz tersebut. Saya tidak berwuduk namun tempat wuduk memerlukan saya berlari keluar dari kawasan berbumbung. Kemudian saya meminta anak murid yang sudah sedia di dalam hujan untuk menggambilkan kasut dari ruangan wuduk supaya saya boleh menukarkan kasut saya dengan selipar yang ada.

“Semua selipar basah, teacher,”  ujar salah seorang dari mereka. “Nanti basah socks teacher.”

“Takpelah, nanti teacher tetap akan basah sebab nak ambil wuduk.” saya jawab.

“Teacher tunggu sini, nanti saya ambilkan selipar kering untuk teacher.” 

Saya yang enggan membuang masa hanya menanti. Kemudian murid yang sama datang lalu berkata,

“Takdelah teacher.  Semua basah rupanya.”

Saya jawab, “takpe, boleh je. Nanti ambil wuduk basah jugak socks teacher. Teacher ada extra socks untuk solat, jangan risau.”

Habis saja ayat saya, si anak murid ini tadi lantas membuka seliparnya lalu menghalakan seliparnya di kaki saya dengan sisi selipar itu sedia untuk saya sarungkan. Alangkah luluh hati saya apabila anak murid meletakkan saya sebegitu tinggi darjatnya walhal seperti yang saya sedari, saya hanyalah manusia yang kosong berbanding mereka. Dalam hujan, air mata sayapun meleleh sama.

Wahai Allah, aku jahil

Setiap kali sebelum majlis mawlid, saya melihat anak-anak murid saya sibuk membaca wirid yang saya tak berapa familiar mendengarnya. Satu hari, selepas solat Asar, saya bertanyakan kepada anak murid saya, apakah wirid yang dibaca mereka sebelum waktu mawlid, lantas mereka terangkan. Saya tetap tak faham. Tiba-tiba….

Seorang anak murid berkata kepada saya, “ada kitab dia teacher. Teacher boleh beli depan masjid Muadz (bin Jabal, Setiawangsa) lepas mawlid bulanan. Eh, kalau tak pun teacher  tunggulah kejap, saya hadiahkan je teacher satu kitab tu, saya ada banyak.”

Wahai Adham, teacher masih lagi guna kitab yang Adham bagi sampai sekarang. Terima kasih, Adham.

Terlalu banyak untuk saya kongsikan saat-saat indah saya bersama anak-anak tahfiz antaranya saat-saat mereka mempersiapkan tempat solat untuk saya, lengkap dengan hadangan agar saya selesa dan tak kelihatan dari luar kawasan tahfiz dari pandangan yang tak sepatutnya. Juga saya ingat sangat-sangat waktu arwah nenek saya meninggal ketika saya sedang mengajar Bahasa Inggeris. Ibu saya menghubungi saya memberitahu perkhabaran itu. Ibu bapa saya meminta agar saya tinggal dan terus menghabiskan pengajaran saya kerana pada masa itu saya dalam tugasan, maka wajib diselesaikan tugasan yang diamanahkan tetapi beruntung sungguh arwah nenek saya, anak-anak tahfiz saya telah sudi membuatkan tahlil selepas asar dan maghrib untuk arwah nenek saya yang pulang kepada Illahi pada hari yang sama.

Inilah kisah saya dengan anak-anak tahfiz. Mereka ini harapan kita di akhirat. Hati mereka bersih, kekuatan mereka tak terbanding. Sesungguhnya Allah tidak menghapuskan ilmu agama itu dengan memadamkan ilmu di dunia, tetapi dengan mematikan para alim ulama. Semoga mangsa kebakaran yang terdiri daripada anak-anak hufaz hari ini mendapat syafaat dari al-Quran yang mereka baca saban hari. Yang kita lihat hanyalah kehilangan jasad, tetapi selebihnya adalah rahsia Allah bersama mereka. Kita semua sedang dalam perjalanan menuju jalan pulang kepada Allah yang satu. Satu hari nanti, kita tetap akan sampai ke destinasi kita. Kutiplah bekalan yang baik untuk ke destinasi kita. Allahu alam.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published.