Sukan SEA 2017: 3 Pelajaran Hebat Di Sebalik Kekalahan 1-0 Bola Sepak Malaysia dan Thailand

Semalam kita melihat permainan yang amat dinanti-nantikan iaitu bola sepak di antara Malaysia dan Thailand. Keputusan memihak kepada Thailand, dengan markah 1-0 yang diperolehi akibat kesilapan penjaga gol negara kita. Ya, itulah kesilapan dan kesilapan adalah milik kita semua yang bergelar manusia. Namun, disebalik kesilapan itu, saya tertarik untuk berkongsi 3 pelajaran hebat yang dapat kita terapkan dalam kehidupan harian kita di sebalik kekalahan 1-0 bola sepak Malaysia dan Thailand. Jujur saya katakan bahawa artikel ini saya tulis adalah 100% kerana gambar TMJ menepuk bahu coach  Datuk Ong Kim Swee di bawah. Terlalu hebat gambar di bawah ini dan hanya yang sempat memandang dapat menilai moment ini.

1) Mengakui kesilapan sendiri dan bertanggung jawab ke atas kesilapan tersebut

Bukan semua kesalahan mengubah hidup kita. Ada kalanya, kesalahan yang berlaku adalah akibat kecuaian kita, namun, selebihnya membawa pengajaran kepada kita serta mematangkan kita. Begitu juga dengan kisah Haziq Nadzli yang tertumbuk bola ke dalam gol Thailand. Ianya 100% kesalahan yang tak disengajakan. Sungguhpun nasi sudah menjadi bubur, namun, pemain negara ini mengakui kesilapan beliau dan bertanggung jawab dengannya apabila dia mengakui kesalahannya itu. Besar sungguh pelajaran daripada insiden ini jika kita ingin mengajak anak-anak kita untuk mempelajari sesuatu dari apa yang ditonton oleh mereka.

2) Belajar memaafkan diri sendiri

Semestinya kemampuan memaafkan diri sendiri adalah antara keimanan dan kekuatan yang boleh dipupuk di dalam setiap diri individu. Mengajar anak-anak untuk memaafkan diri mereka sendiri mampu mendewasakan anak-anak malah mengajar anak-anak agar menghormati diri mereka sendiri agar tidak melakukan perkara-perkara yang lebih teruk dari kesilapan yang sedia ada.

3) Belajar memaafkan kesilapan orang lain

Lihat sahaja gambar TMJ dan Datuk Ong Kim Swee, ianya cukup untuk mendidik kita agar kekal bersatu serta memaafkan seseorang yang mungkin tidak perlu dipertanggung jawabkan dengan kesalahan orang lain. Memaafkan orang lain mengajar kita untuk kekal bersatu padu dalam sesebuah perhubungan sama ada kekeluargaan atau persahabatan di samping meningkatkan nilai hubungan itu sendiri.

Itu dia tadi 3 pelajaran hebat di sebalik kekalahan 1-0 bola sepak Malaysia dan Thailand semalam. Walaupun ianya hanya pertandingan bola sepak, itu tidak bermakna kita tidak dapat mempelajari apa-apa daripadanya. Malah, sukan bukan sahaja menyatu padukan dunia, ianya juga menyatu padukan hubungan kekeluargaan. Seperti biasa, sekiranya anda seronok membaca artikel ini, kongsikan bersama-sama rakan yang lain.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published.