Puasa Pertama Sebagai Seorang Ibu

Puasa pertama sebagai seorang ibu

Benarlah banyak kata-kata yang menyatakan bahawa para ibu adalah sekuat-kuat manusia. Puasa pertama saya sebagai seorang ibu amat mengagumkan.

Walaupun saya ini seorang ibu instant, tetapi tugas dan tanggung jawab sebagai ibu tiada bezanya. Saya sama seperti ibu-ibu yang lain, atau lebih tepat; saya sama seperti suri rumah yang lain. Alhamdulillah, dengan izin Allah, suami membenarkan saya membuat keputusan untuk tidak bekerja dan duduk di rumah. Setelah 3 tahun makan gaji, akhirnya termakbul doa untuk kembali freelancing dan aktif berniaga dan menguruskan perniagaan online saya di www.wouii.com Sudah jadi asam garam, apabila menjadi suri rumah, agenda utama ialah menjaga makan pakai anak-anak dan suami. Namapun makan pakai, jadi pastinya lagenda pertama ialah mengisi perut anak-anak dan suami. Sungguhpun saya lebih gemar mengemas rumah, memasak tidak boleh dielakkan. Namun, sepanjang minggu ini, saya berpuasa sempena hari Isnin serta Hari Putih (13, 14 dan 15 hari bulan untuk setiap bulan dalam kalendar Hijrah).

Puasa hari Isnin merupakan titik permulaannya. Memandangkan anak-anak gembira membawa bekal yang disediakan setiap pagi, saya bangun sejam lebih awal pada hari Isnin lepas bagi memastikan bekal dan sahur saya dapat diperolehi. Menu pagi itu adalah spaghetti meatballs permintaan anak-anak. Sedap sangat katanya. Dan menjadi kebiasaan saya juga, selepasa sahaja anak-anak dan si ayah keluar ke sekolah dan pejabat, saya akan teruskan dengan memasak lauk tengah hari. Ya, saya suri rumah sepenuh masa dan bebas memasak pada bila-bila masa, tetapi saya tidak gemar ke dapur. Jadinya, memasak di awal pagi adalah solusi terbaik. Lauk pagi itu ialah rendang ayam dan itulah sahur saya.

Selesai masak, ada waktunya saya akan melihat latihan English dan Matematik anak-anak yang mana mereka saya belikan buku khas untuk buat setiap hari sehelai dan akan disemak oleh saya sendiri. Ini adalah inisiatif saya dalam memastikan pembelajaran anak-anak berjalan berterusan dan tidak hanya bergantung pada buku sekolah dan kerja rumah dari sekolah sahaja. Selesai urusan tersebut, saya akan luangkan masa membaca buku dan mengaji al-Quran. Baru sahaja khatam 2 minggu lepas, kali ni aim  saya adalah untuk khatam sekali lagi pada bulan Ramadhan. Jadi, usaha harus dimulakan awal.

Selesai solat zohor, seperti biasa, komputer harus dibuka dan kerja-kerja menguruskan sales harus dilakukan. Kerja-kerja komputer selalunya makin dilayan makin hebat jadinya. Ia boleh berlarutan hingga ke waktu Asar, selepas Asar malah; kalau tidak dikawal hingga ke larut malam. Maka, menjelang Asar, sayapun bersolat dan membaca surah Al-Waqiah selepas solat. MasyaAllah, tiba-tiba terdetik di hati saya, benarlah menjadi ibu ini kekuatannya luar biasa.

Dari menyapu sampah dan mengemop lantai di antara waktu-waktu di atas, mengangkat kain di ampaian dan memesin lagi sebakul baju kotor, meninjau bilik anak-anak dan mengemas apa yang patut, semuanya banyak tugas dan ya, saya masih berpuasa. Subhanallah, pengalaman pertama saya berpuasa sebagai seorang ibu. Allah menjadikan saya mampu melakukan semuanya dan tidak sikitpun kualiti tugas berkurangan, malah dilakukan dengan hati tenang dan rela. Kuatnya kekuatan seorang ibu. Saya selaku ibu instant  amat terkejut apabila menyedari kebenaran Islam bahawa teramat mudah untuk para isteri memasuki syurga. Banyaknya hikmah Allah dan hebatnya Allah, Dia beri kemudahan kepada orang yang berpuasa dan ibu dan isteri. Rupanya tidaklah mustahil untuk berpuasa dan meneruskan hal-hal rumah tangga. Juga tidaklah membebankan pula puasa kita apabila kita kena berlagak normal depan anak-anak walaupun puasa kita sedikit melewatkan tindak-tanduk kita.

Keindahan berpuasa dengan adanya anak-anak rupanya Allah tambahkan keriangan ketika berbuka puasa. Bangun dari tidur sewaktu Asar, anak-anak telahpun membeli kuih kegemaran saya. Esoknya siap ditanya lagi,

“Any special request untuk berbuka puasa hari ni?

WOW!

My son, you’re such a gentleman. Tabarakallah.

Anak-anak juga bijak mengambil alih tugas menyediakan air minum petang si ayah, menghidang dan menyenduk makanan untuk berbuka puasa seolah-olah kami benar-benar sedang menikmati Ramadhan. Terima kasih kepada suami tersayang yang tidak pulang dengan tangan kosong malah sempat meluangkan masa untuk berbuka bersama sebelum bergegas menunaikan solat Maghrib di masjid. Tabarakallah untuk keluarga kita.

Untuk para ibu dan wanita di luar sana, saya ucapkan tahniah kerana anda terpilih untuk diciptakan sebagai seorang wanita. Bersyukurlah kalau kita dipilih menjadi suri rumah tangga kerana jika tidak, ya, kita wanita berkerjaya, tetapi mungkin lebih mencabar lagi tanggungjawab kita. Gembiralah para ibu dalam menjalankan tugasan di rumah kerana pastinya ada rezeki kita (dalam bentuk pahala, insyaAllah) melalui titik peluh kita. Dan ya, dikesempatan ini, saya ucapkan terima kasih kepada para rakan yang telah lama mendahului saya dalam menaiktaraf diri mereka menjadi ibu kerana memberi saya tunjuk ajar dalam pelbagai hal. Paling menarik, semenjak menjadi ibu, topik perbualan kami adalah anak-anak. Seronoknya hidup ada anak walaupun selaku ibu tiri, saya sebenarnya hanya menumpang kasih anak-anak melalui suami saya. Walaupun mulut tak kurang berleter, rupanya hati dan naluri wanita itu, Allah jadikan dengan sikap kasih sayang dan kelembutan yang banyak sehingga kadang kala saya tersenyum seorang diri memikirkan betapa cepatnya saya switch dari marah kepada gelak ketawa demi anak-anak.

Nyatakan dan kongsi pengalaman anda berpuasa sebagai seorang ibu. Nak jugak saya tahu macam mana rasanya berpuasa pertama kali sebagai seorang ibu dan berbuka dua orang serentak (anak dalam kandungan dan ibu yang mengandung).


Leave a Reply

Your email address will not be published.