Antara Drama Nur dan Kenyataan Hidup

Betapa seronoknya kita apabila semangat Malaysia Baru yang kita perolehi daripada kemenangan besar pilihan raya awal bulan lepas memberi impak dan semangat baru kepada banyak aspek kehidupan kita. Sengaja atau kebetulan, drama dan filem kita juga berubah rentak. Terbaru, setelah demam pilihan raya, dan keheningan Ramadhan, kita dilanda syahdu asmara dan dilema antara kenyataan hidup dan hidayah Allah menerusi drama 19 episod berjudul Nur.

Terdahulu saya mengucapkan tahniah kepada penulis drama ini kerana memaparkan bahagian dan babak pelacuran dalam bentuk yang amat minimalis dan menekankan konsep kehidupan sebagai pergolakan rasa utama untuk kita sebagai penonton. Apa yang menarik mengenai drama ini ialah skripnya yang sangat hampir kepada penonton sehingga kita sendiri terasa bahawa, jika kita bukan seorang pelacur yang mencari jalan keluar dari kehidupan yang malang, kita juga adalah hamba Allah yang berperang mendapatkan jalan lurus yang diredhaiNya. Keadaan ini dihujahkan secara nyata dan jelas melalui solat seseorang yang dijalankan secara senyap-senyap, doa istiharah yang dizahirkan, serta bacaan al-Quran yang indah pada waktu-waktu tertentu di dalam drama ini.

Saya amat tertarik dengan statement seorang bekas pembantu saya sewaktu kami bertemu semalam. Ayatnya mudah tetapi cukup impaknya untuk membuat saya rasa bersyukur. Katanya,

” Perempuan biasapun nak kan ustaz,”

kemudian merujuk kepada drama ini, beliau menambah,

“Nur pun nak kat Ustaz Adam,”

Saya yang asalnya terpaku kemudiannya tergamam dengan ayat kedua tersebut. Betullah, kalau dikatakan perempuan biasa seperti kita ini pun inginkan seorang ustaz, inikan pula orang yang paling besar pancarobanya.

Saya kemudiannya mengangkat ayat pertama tersebut untuk diletakkan di Facebook status saya. Beberapa jam kemudian pembantu saya menjelaskan maksud ayatnya.

“Kita semua mahukan yang terbaik di kalangan yang baik-baik.”

Benar.

Dan saya bersyukur, alhamdulillah.

Saya bersyukur “ustaz sayang” (saya mengambil semula ayat pembantu saya).

Kita terlalu mudah untuk berkata syukur tetapi kita terlupa untuk menghargai hal yang kita syukuri tersebut sehingga ada mata lain dan hati lain yang mengingatkan kita terhadap kealpaan itu. Terima kasih, Fara.

Di episod akhir drama ini, saya sangat-sangat terpalit dengan watak ibu Nur yang mana diakhir hayatnya, dia percaya pada Allah. Lihatlah betapa mudahnya akhir seseorang itu. Hanya dengan mengesakan Allah, maka terpadamlah segala keburukan dan kehinaan dirinya di dunia. Subhanallah. Jika ditanya, apakah impak terbesar filem ini, jawapan saya, itulah dia.

Akhir kata, tahniah kepada seluruh warga kerja drama Nur. Barangkali ada yang menerima hidayah, ada yang lebih baik imannya, ada yang memperbaiki solat dan amalannya hanya kerana drama ini. Semoga Allah mengampuni kesemua dosa kita, insyaAllah.

 


Leave a Reply

Your email address will not be published.