Apa Perlu Saya Lakukan Sebelum Melatih Anak Saya dengan Kerja-kerja di Dalam Rumah?

Ramai ibu bapa yang sebenarnya suka anak kecil mereka didedahkan dengan kerja-kerja di dalam rumah pada usia muda, tetapi mereka mempunyai satu kerisauan. Kerisauan itu adalah rumah jadi kotor. Ya, hal ini selalu menjadi penghalang kepada ibu-ibu untuk membiarkan anak mereka mencuba. Bukan hendak menyalahkan, tetapi kerja di rumah sebenarnya tiada penghujung. Jadi, sebab itulah para ibu cuba meminimakan perkara-perkara yang boleh menambah kerja mereka, betul tak macam tu?

Sebagai seorang ibu, saya juga memahami masalah ini. Jadi, hari ini saya kongsikan tips bagaimana anda boleh mempersiapkan anak kecil anda sebelum mereka mencuba menjadi “pembantu” anda di rumah. 3 langkah di bawah saya sediakan berdasarkan setting atau situasi di dapur. Anda boleh olah atau cuba perkara yang sama untuk aktiviti di bahagian lain rumah anda. InsyaAllah, anda boleh lakukannya!

1) Sediakan kawasan khas untuk mereka
Seperti di sekolah, di rumah juga memerlukan setting yang sesuai sebelum sesuatu aktiviti dimulakan. Walaupun anda tidak perlu membuat dekorasi yang berlebihan, tetapi perlu juga anda pastikan bahawa kawasan yang hendak anda lakukan aktiviti bersama si kecil adalah selamat dari benda-benda tajam dan capaian yang tidak terjangka. Untuk peringkat ini, tentukan sama ada anda ingin mereka berdiri di atas lantai, duduk di atas kerusi atau berada dalam baby chair. 

2) Sediakan peralatan sebelum mereka datang
Selain menyediakan kawasan khas untuk mereka, pastikan segala peralatan yang anda ingin mereka cuba telah tersedia sebelum anda meletakkan mereka di kerusi atau kawasan yang telah anda sediakan untuk mereka. Penting untuk anda lakukan hal ini kerana focus span kanak-kanak adalah pendek. Menunggu akan membuat mereka berasa penat dan bosan serta akhirnya boleh menjadikan misi anda gagal.

Tip pantas: Alihkan perhatian mereka dengan aktiviti lain sebelum mereka duduk di tempat mereka. Panggil atau bawa mereka setelah kesemua peralatan mereka dan anda telah tersedia di tempat yang telah anda khaskan tadi. Tindakan ini dapat mengurangkan risiko bahaya atau anda membiarkan mereka terlalu lama.

3) Tunjuk dulu baru ajak
Tunjukkan kepada mereka apa yang sebenar-benarnya anda ingin mereka cuba dan alihkan task atau urutan kerja yang lain daripada mereka jika itu bukan yang anda ingin mereka cuba pada sesi tersebut. Anda juga boleh memilih sama ada ingin mereka melihat atau melihat dan mencuba setiap kali anda membawa mereka untuk melihat proses anda di dapur.

Ada beberapa teknik yang anda boleh lakukan untuk memastikan aktiviti ini boleh diulang lagi pada masa hadapan. Antaranya:

  • -ajak, bukan suruh atau paksa
  •  gunakan sistem your turn, my turn sewaktu proses dilakukan
  • beri persekitaran yang menggalakkan percubaan dan kesalahan mereka tidak dititikberatkan melainkan anda membaikinya dengan mengulang kembali di hadapan mereka cara yang betul sesuatu proses patut dilakukan.

Diharapkan artikel kali ini menjawab persoalan anda iaitu; apa perlu saya lakukan sebelum melatih anak saya dengan kerja-kerja di dalam rumah? Seperti biasa, tinggalkan komen anda supaya menjadi bantuan dan tip tambahan kepada ibu bapa lain yang sedang ingin mencuba sesuatu yang baru dengan anak-anak mereka. Kalau anda suka, kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan anda yang lain.

 

P/S: Adakah anak anda bakal ke taska tahun hadapan? Jom dapatkan tips pemilihan taska di sini.


Leave a Reply

Your email address will not be published.